Selamat Datang Ke PPKI SK BUMIPUTERA, LUNDU

Friday, May 8, 2015

KARNIVAL PERMAINAN TRADISIONAL PPKI SK BUMIPUTERA

Pada 6 Mei 2015 iaitu pada hari Rabu yang lalu, Kelas PPKI SK Bumiputera, Lundu telah mengadakan Karnival Permainan Tradisional 2015.  Aktiviti ini disertai oleh 11 orang guru, 31 orang murid PPKI yang diiringi oleh ibu bapa bagi melengkapkan karnival tersebut. Aktiviti ini telah dilaksanakan di Padang Majlis Daerah Lundu, Lundu.
Karnival Permainan Tradisional ini dianjurkan bagi memperkenalkan salah satu elemen kebudayaan melalui permainan tradisional kepada Murid Berkeperluan Khas. Permainan Tradisional ini merupakan permainan yang diwarisi turun temurun di mana ia melibatkan kemahiran asas lokomotor, bukan lokomotor dan manipulasi alatan yang meliputi gaya hidup sihat untuk memperoleh kecergasan, ketenangan dan menangani tekanan. Antara contoh permainan tradisional ialah congkak, batu seremban, galah panjang, ketinting, tuju selipar dan lain-lain lagi.  Objektif aktiviti ini adalah untuk mengaplikasikan aktiviti terapi kepada murid yang menjadi elemen penting kepada murid PPKI. Di samping itu aktiviti ini juga akan meningkatkan kreativiti dan kemahiran sosial murid.
Program bermula dengan berkumpul dan mengambil kehadiran serta pendaftaran murid dan ibu bapa di Kelas PPKI di SK Bumiputera.  Seterusnya, kami berkumpul di Padang MDL yang yang terletak bertentangan dengan SK Bumiputera. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Izzudin Bin Adam dan diikuti dengan ucapan kata alu-aluan oleh Yang Dipertua Pengerusi Persatuan Sokongan Ibu Bapa dan Guru PPKI, seterusnya diikuti dengan ucapan daripada Guru Besar SK Bumiputera, En Annuar bin Hj Lay. Acara diteruskan dengan ucapan perasmian daripada Pegawai Pendidikan Daerah Lundu, Bahagian Pendidikan Khas, En Calvin Chang Seng Leong. Acara simbolik Perasmian tersebut disempurnakan dengan menyumpit belon daripada En Calvin Chang Seng Leong.
Seterusnya, murid berbaris mengikut lima kumpulan seperti yang telah ditetapkan. Nama kumpulan tersebut ialah Hang Tuah, Hang Nadim, Hang Lekiu, Hang Jebat dan Hang Lekir. Seterusnya, acara diteruskan dengan acara senam seni 1 Malaysia yang diketuai oleh Pn Brenda bt Ubang. Acara tersebut berlangsung selama 25 minit. Selesai senam seni 1 Malaysia, acara pertandingan permainan tradisional bermula pada pukul 09:30 pagi. Berikut adalah acara-acara yang dipertandingkan pada hari tersebut:
·                Murid/ peserta
o  Congkak
o  Cap teh/ menimbang bola takraw
o  Batu Seremban
o  Ketingting
o  Tuju guli
o  Galah panjang

·                Acara murid bersama ibu bapa
o  Sorong kereta / Tarik upih

·                Ibu bapa dan guru
o   Kupas kulit buah kelapa
o   Menganyam ketupat
o   Rebut negeri